KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir, semua pihak, pemimpin dan ahli dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diseru agar terus mempertahankan perpaduan dalam gabungan itu dan tidak terpengaruh dengan suara-suara yang boleh menggugat kestabilan politik negeri.
Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah berkata demikian susulan kenyataan terbaru oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kedudukan Parti USNO dalam GRS.
Christoper turut mengingatkan bahawa GRS dibentuk hasil semangat kerjasama antara parti-parti tempatan Sabah selepas melalui fasa politik yang tidak menentu.
“Ketika kita semakin menghampiri PRN17, keutamaan harus diberi kepada kekuatan dan perpaduan, bukan membuka ruang kepada perpecahan,” katanya dalam dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau menggambarkan GRS sebagai “rumah kecil” yang dibina bersama oleh anak-anak Sabah, walaupun tidak sebesar gabungan politik yang lalu.
“Rumah ini mungkin tidak sebesar rumah lama yang pernah kita diami bersama, namun ia dibina atas semangat dan kepercayaan sesama anak Sabah. Ini adalah rumah kita, jangan dipecahkan,” katanya.
Menurutnya, GRS telah membuktikan bahawa nilai dan penghormatan dalam gabungan tidak hanya diukur berdasarkan jumlah kerusi yang dimiliki sesebuah parti. Sebaliknya, beberapa parti kecil tetap diberi peranan dalam pentadbiran negeri serta platform serantau.
Ini, katanya, mencerminkan gaya kepimpinan yang inklusif dan keikhlasan dalam membina Sabah yang lebih stabil.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan persoalan sama ada keresahan politik yang timbul menjelang PRN berpunca daripada prinsip atau sekadar perubahan angin politik.
“Perbezaan pendapat adalah lumrah. Namun ia harus ditangani dengan kebijaksanaan, sebagaimana layaknya seorang negarawan,” ujarnya.
Beliau turut memetik kata-kata Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman: “Apa gunanya rumah besar itu melompat ke rumah yang kecil, tetapi kalau rumah yang besar itu tidak ada ruang bagi kita, apa salahnya?”
Katanya, meskipun rumah baharu yang dibina tidak semewah dahulu, ia tetap milik bersama dan perlu dipertahankan demi rakyat Sabah.
“Sejarah tidak hanya mencatat siapa yang menang ketika senang, tetapi siapa yang bertahan dan bersatu ketika diuji. Dalam waktu tenang, semua tampak seperti pemimpin. Namun dalam saat genting, barulah kita mengenal siapa yang benar-benar memikul amanah dengan jiwa,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan harapan agar semua tokoh dalam GRS, termasuk Tan Sri Pandikar, terus memainkan peranan sebagai penyatu rakyat Sabah.
“Rumah kecil ini tidak sempurna, tetapi inilah rumah kita dan masa depan Sabah bergantung kepada bagaimana kita memeliharanya bersama,” katanya.