KOTA KINABALU: Anak-anak muda dan belia negeri ini memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan Sabah terus berkembang maju dan mencapai kecemerlangan yang setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, kata Ketua
Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, Sabah kini berada di ambang sebuah transformasi besar dan kerajaan negeri sedang bekerja keras untuk memastikan negeri ini akan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang, baik ekonomi, sosial, pendidikan, dan pembangunan infrastruktur.
“Untuk mencapai matlamat Sabah Maju Jaya, kita memerlukan tenaga, idea, dan semangat daripada golongan muda. Saya berharap agar anak-anak muda terus memberi sokongan penuh kepada agenda kerajaan dalam memastikan Sabah menjadi
negeri yang maju, sejahtera, dan berdaya saing.
“Saya yakin bahawa anak-anak muda dan belia negeri ini selaku harapan masa depan Sabah adalah pemimpin yang tidak hanya cerdas, tetapi juga berkarakter dan berintegriti”, katanya pada majlis perasmian Program Perintis Muda Di Hati Ketua Menteri Sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2025 Peringkat Negeri di Dewan Al-Bukhari Ujana Sarjana, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan, Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Justeru katanya, dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan sebagai aset dalam membina masa depan negeri dan negara, agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.
Hajiji berkata, kerajaan negeri Sabah terus komited menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah kerana pentingnya pendidikan dalam membentuk masa depan belia.
Katanya, pada tahun ini Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM75.5 juta untuk melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan yang menyeluruh, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA), Subsidi Tiket Penerbangan (GRS-SUBFLY) dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).
“Manakala dana untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) telah ditingkatkan daripada RM51 juta kepada RM128 juta bagi tahun ini, memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian tinggi.
“Semua inisiatif ini bertujuan untuk memastikan tiada anak Sabah yang ketinggalan dalam mengejar cita-cita mereka hanya kerana kekangan kewangan. Kita mahu melahirkan generasi belia yang berilmu, berkemahiran, dan berdaya saing di peringkat
negeri, negara, dan antarabangsa.
“Kita mahu memastikan setiap anak muda di negeri ini diberikan peluang yang sama untuk meningkatkan potensi mereka. Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited untuk memberi sokongan penuh kepada semua program yang
memperkasa golongan muda,” katanya.
Hajiji berkata, melalui Program Perintis Muda Di Hati Ketua Menteri, belia dilatih bukan hanya untuk menjadi pemimpin masa depan, tetapi juga menjadi pemangkin kepada transformasi sosial dan ekonomi di kawasan mereka masing-masing.
Beliau percaya, melalui program seperti ini, dapat membina satu ekosistem belia yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kerjaya, malah matang dari segi kepimpinan sosial.
Katanya, usaha membanteras penyalahgunaan dadah juga berkait rapat dengan agenda pembangunan belia yang holistik.
Justeru katanya, Program Perintis Muda yang digerakkan oleh Majlis Belia Sabah (MBS) merupakan inisiatif strategik untuk melatih barisan belia muda dengan kemahiran kepimpinan, pengurusan projek, penyelesaian masalah komuniti, serta memperkasa semangat patriotisme dan kenegaraan.
“Ini kerana belia merupakan tunjang kepada pembangunan negeri, bukan hanya dalam aspek ekonomi, malah juga dalam pembinaan masyarakat madani, pengukuhan integrasi sosial, dan pembangunan komuniti di peringkat akar umbi”, tegasnya.