Polis Buru Suspek Lelaki Tikam Mangsa Di Luar Pusat Hiburan Penampang

Polis Buru Suspek Lelaki Tikam Mangsa Di Luar Pusat Hiburan Penampang

0
SHARE
Suspek Kaw Yung Chee, 35, kini diburu polis...(Sumber Foto: IPD Penampang)

PENAMPANG, SABAH – Polis sedang giat memburu suspek lelaki yang menikam seorang mangsa di luar sebuah pusat hiburan di Penampang Baru sini sehingga mengakibatkan kematian.

Ketua Polis Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kes pada pukul 3.26 pagi tadi.

“Sepasukan polis daripada IPD Penampang telah bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang mangsa lelaki dalam keadaan cedera…

“Beliau telah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 dan ditempatkan di Zon Kecemasan (Red Zone),” katanya dalam sebuah kenyataan.

Walau bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi oleh Pegawai Perubatan bertugas akibat pendarahan yang teruk disebabkan oleh tikaman objek tajam.

Haris berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, pihak polis telah mengenal pasti suspek terlibat yang mencederakan mangsa sehingga meninggal dunia.

“Suspek dikenal pasti sebagai Kaw Yung Chee berusia 35 tahun…

“Sehubungan dengan itu, pihak polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk segera berhubung dengan balai polis berhampiran,” tambah beliau.