Tingkatkan Keupayaan Ekonomi Tenom – Riduan Rubin

Tingkatkan Keupayaan Ekonomi Tenom – Riduan Rubin

0
SHARE
Riduan Rubin...

TENOM, SABAH – Kedudukan strategik Tenom yang terletak di kawasan pedalaman Sabah dan berhampiran dengan pintu masuk Kalimantan Timur, Indonesia dilihat mampu meningkatkan keupayaan ekonomi daerah itu.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tenom, Riduan Rubin berkata, pemindahan ibu kota Indonesia ke kawasan Kalimantan Timur tidak lama lagi, turut bakal mempercepatkan ekonomi di rantau ini dengan masyarakat di daerah Tenom diseru supaya mengambil peluang terbabit.

“Kita berharap kawasan Pedalaman khususnya Tenom dapat merebut peluang ini dengan bantuan daripada kerajaan untuk mewujudkan model ekonomi yang baharu di kawasan Pedalaman dengan pembukaan pintu masuk Malaysia-Indonesia di Pedalaman yang berjiran dengan Kalimantan Timur bagi tujuan aktiviti perdagangan.

“Bayangkan limpahan ekonomi pembukaan ibu kota Kalimantan timur ini mengalir dalam ekonomi di daerah kita.

“Sudah pastinya kita akan menjadi daerah yang paling pesat membangun dari aspek ekonomi dan peningkatan pendapatan penduduk daerah Tenom,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Untuk rekod, Indonesia meneruskan rancangan untuk memindahkan ibu negaranya, Jakarta ke kepulauan Borneo bermula tahun pertama 2024 hadapan.

Kalimantan Timur yang terletak di kawasan berjiranan Sabah dan Sarawak dirancang sebagai pusat ibu kota baharu negara Indonesia dengan difahamkan melibatkan lokasi seluas 56,180 hektar.

Terdahulu, Riduan memuji pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dengan melihat perkara itu sebagai wadah terbaik membangunkan negeri Sabah yang kini telah mulai membuahkan hasil dengan kemasukan menggalak pelabur-pelabur luar untuk melabur perniagaan mereka ke Sabah.

Perkara ini adalah petanda jelas bahawa kepimpinan serta visi dan misi Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mendapat kepercayaan & pengiktirafan pelabur Antarabangsa.

“Oleh yang demikian saya mencadangkan agar Kerajaan menetapkan dasar dan model ekonomi yang sesuai dengan bentuk ekonomi kita di daerah Pedalaman…

“Model kerangka ekonomi baharu Pedalaman ini akan memberikan manfaat kepada kedua-dua Negara Malaysia-Indonesia dalam menerokai potensi peluang ekonomi di Ibu Kota Indonesia iaitu Kalimantan Timur yang dijangka boleh mencapai belasan trilion ringgit sekaligus dapat memacu pertumbuhan ekonomi daerah Pedalaman khususnya di Tenom,” katanya.