KOTA KINABALU: Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan penyertaan wanita dalam politik, Wanita Pakatan Harapan (PH) Sabah telah menganjurkan “Bengkel Pengucapan Awam & Iltizam Wanita Sabah” pada 23 dan 24 April 2025, bertempat di Madani Sinergi, Pejabat Parlimen Sepanggar.
Ketua Wanita PH Sabah, Jannie Lasimbang berkata, bengkel ini adalah persiapan awal untuk melahirkan barisan calon wanita berwibawa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba.
Inisiatif ini sejajar dengan komitmen PH untuk menampilkan sekurang-kurangnya 30% calon wanita yang bersedia dari segi prinsip, kemahiran dan iltizam perjuangan.
Latihan intensif ini memberi fokus kepada tiga komponen utama iaitu debat, pengucapan awam, dan penulisan kenyataan serta ucapan politik. Bengkel ini menampilkan gabungan teori dan latihan praktikal yang membantu peserta membina keyakinan serta strategi komunikasi politik yang efektif.
Antara mentor utama ialah Kasthuriraani Patto, bekas Ahli Parlimen Batu Kawan dan aktivis hak asasi wanita yang terkenal di peringkat antarabangsa. Kehadiran beliau telah memberikan inspirasi dan bimbingan yang signifikan, khususnya dalam aspek memperjuangkan hak wanita dan prinsip kesamarataan dalam politik.
Turut membimbing ialah Dr. Richard Gontusan, pakar komunikasi dan jurulatih debat berpengalaman, yang membantu peserta mengasah keupayaan berhujah dan menyampaikan mesej dengan jelas, berani dan berkesan.
Ts. Mustapha Sakmud, Ahli Parlimen Sepanggar, turut hadir menyantuni bengkel ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa wanita dalam politik.
Kehadiran beliau telah menaikkan semangat peserta dan memperlihatkan kesatuan dalam memperjuangkan agenda keterangkuman.
Menurut Jannie, bengkel ini juga adalah satu permulaan penting untuk memastikan calon wanita bukan sahaja bersedia untuk bertanding, tetapi juga mampu menjadi pemimpin yang diyakini rakyat.
“Kami sedang membina gelombang pemimpin wanita yang berani bersuara dan teguh membawa agenda rakyat,” katanya