
TAWAU, SABAH – Sebanyak 400 menara telekomunikasi di bawah inisiatif Jendela Fasa 1 dijangka siap penghujung tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihak kontraktor telah menyatakan komitmen untuk menyiapkan keseluruhan menara tersebut di bawah inisiatif Jendela Fasa 1 di seluruh Sabah.
“Garis masa ini bukan diberikan oleh MCMC tetapi adalah persetujuan dengan kontraktor sendiri, jadi bila mereka telah meletakkan garis masa ini dan jika gagal maka akan ada tindakan yang boleh kita ambil.
“Sekarang kita baru menyiapkan hampir 90 menara secara keseluruhan dari sasaran 400 buah menara.
“Banyak lagi menara yang perlu disiapkan, jadi sama ada saya, Timbalan Menteri Komunikasi, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi ataupun Setiausaha Bahagian akan datang hampir setiap bulan untuk mendapatkan taklimat daripada syarikat kontraktor bersekali dengan wakil daripada pejabat tanah dan juga MCMC Sabah.
“Kita akan memberi tumpuan kepada perkara ini sehingga selesai, ini merupakan komitmen yang saya berikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan inilah yang akan kita laksanakan,” katanya semasa ditemui media ketika Program Tinjauan Pengoperasian Menara Telekomunikasi (Jendela) di Kampung Mangga Tawau.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Malaysia Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan Ahli Dewan Undangan Negeri Balung, Datuk Hamild Awang. — JABATAN PENERANGAN SABAH