KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan bahawa nama calon Pakatan Harapan (PH) bagi N.62 Silam, Abd Halim Sidek Gulam Hassan, akan kekal dalam kertas undi meskipun beliau telah mengumumkan penarikan diri daripada bertanding.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pihak SPR telah mengambil maklum mengenai pengumuman penarikan diri Abd Halim yang sebelum ini disahkan sebagai calon pada Hari Penamaan Calon.
Bagaimanapun, peraturan pilihan raya tidak membenarkan mana-mana calon menarik diri selepas waktu yang ditetapkan.
SPR menjelaskan bahawa perkara itu diperuntukkan secara jelas di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, yang menyatakan bahawa tiada calon boleh menarik pencalonannya selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan.
Sehubungan itu, walaupun Abd Halim mengumumkan penarikan diri selepas proses penamaan calon selesai, pencalonannya tetap sah dan namanya akan terus dipaparkan dalam kertas undi bagi kawasan N.62 Silam.
Semalam, Abd Halim mengumumkan bahawa beliau menarik diri sebagai calon PH di Silam selepas berbincang dengan pimpinan tertinggi parti, namun menegaskan keputusan itu dibuat atas pertimbangan peribadi dan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
Sabtu lalu, suasana politik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DU) Silam menjadi semakin hangat apabila Abdul Halim Gulam Hassan muncul sebagai calon mengejut mewakili Pakatan Harapan (PH) semasa proses penamaan calon di Dewan Seri Perdana.
Kemunculan Abd Halim — yang tidak pernah dilaporkan atau diramal sebelum ini — menarik perhatian ramai, terutama kerana beliau merupakan adik kepada calon GRS, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan, yang bertanding di kerusi DU Tungku.
Abd Halim bakal berdepan saingan sengit dalam pertandingan sembilan penjuru, termasuk dengan calon GRS, Datuk Mizma Appehdullah. Calon-calon lain terdiri daripada Sharif Musa Sharif Mabul (BN), Mohammad Yusof Apdal (Warisan), Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN), Amat Kawoh @ Abd Rahman (BEBAS), Mohammad Enriquez (SAPP), Brahim Biesel (PIS) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS).






