Mahkamah Koroner keluarkan surat tunjuk sebab kepada Shafie Apdal

Mahkamah Koroner keluarkan surat tunjuk sebab kepada Shafie Apdal

0
SHARE

KOTA KINABALU, 22 September – Mahkamah Koroner hari ini mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berhubung kenyataannya mengenai inkues kematian adik Zara Qairina Mahathir yang didakwa menghina mahkamah.

Shafie dalam satu ucapan di Sandakan sebelum ini antara lain menyifatkan kematian Zara Qairina sebagai satu pembunuhan, selain mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik.

Koroner Amir Shah Amir Hassan mengeluarkan notis berkenaan selepas tiada sebarang bantahan dikemukakan oleh pihak terlibat, termasuk Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues.

Permohonan itu dikemukakan peguam Datuk Ram Singh pada prosiding tertutup hari ini.

Dalam video itu, Shafie antara lain kedengaran berkata: “Itu budak sudah mati, bukan buli, it’s a murder. Betul kah?” sebelum disambut dengan suara hadirin yang menjawab, “Betul.”

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memulakan prosiding menghina mahkamah setelah meneliti secara terperinci kandungan kenyataan dikeluarkan Shafie Apdal berhubung kes membabitkan kematian Zara Qairina.

AGC berkata, namun pihaknya akan meneliti secara terperinci kandungan kenyataan dikeluarkan Shafie sebelum ini.

Kata AGC, pihaknya memandang serius kenyataan dikeluarkan bekas Ketua Menteri Sabah itu ketika berucap di Majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada Sabtu lalu.