TAWAU, SABAH – Seramai 157 orang pendatang haram warga Indonesia berjaya diusir ke negara asal oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan menaiki feri dari Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia kelmarin.
Pengarah MKN Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata pengusiran siri ke-29 pada 11 pagi melalui jalan laut itu membabitkan 117 lelaki, 24 wanita, 10 kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan.
“Seramai 7,053 pendatang haram diusir menerusi beberapa siri pengusiran sepanjang tahun ini, termasuk 298 individu daripada lain-lain negara yang diusir melalui udara termasuk membabitkan warga Pakistan, China, Vietnam, Hong Kong dan Korea Selatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Seperti siri-siri pengusiran sebelum ini, katanya MKN Sabah menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Indonesia khususnya Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu dan Konsulat Republik Indonesia di Tawau dalam memastikan proses pengusiran berjalan lancar.
“Tindakan pengusiran ini adalah sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dan semua tahanan disahkan berada dalam keadaan ‘fit to travel’ sebelum diusir, manakala mereka yang didapati sakit atau bergejala akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyusupan pendatang haram agar segera menghubungi pihak Pasukan Petugas Khas Kebangsaan di talian 011-62511223 untuk tindakan lanjut.