Cari Bisnes Berkat, Bukan Ambil Subsidi Rakyat – Armizan

Cari Bisnes Berkat, Bukan Ambil Subsidi Rakyat – Armizan

0
SHARE
Armizan ketika dalam sesi taklimat Lawatan di LRA Kogopon Fasa 2, Papar

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantapkan lagi pengutakuasaan dan mekanisme kawalan agar tidak berlaku ketirisan subsidi khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu penyeludupan minyak diesel bersubsidi masih lagi aktif berlaku dan pihaknya akan lebih meningkatkan penguatkuasaan terhadap kes tersebut.

“Kita tahu, perkara ini masih berlaku dan saya mahu berpesan kepada pihak-pihak yang terlibat bahawa kami akan meningkatkan penguatkuasaan dengan menggunakan undang-undang sedia ada.

 

“Lebih baik cari bisnes lain, carilah bisnes yang lebih berkat untuk makan keluarga dan bukannya bisnes yang ambil subsidi khusus disalurkan kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2 di Papar pada Jumaat.

Sementara itu, Armizan ketika ditanya mengenai cadangan penetapan harga baharu diesel berkata, harga subsidi masih sama dan penyasaran semula subsidi diesel hanya berkuatkuasa di Semenanjung tanpa melibatkan Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Semenanjung, kerajaan akan umum bila, akan ada penyasaran semula subsidi. Pada masa sama, tanggungjawab kita dan saya di KPDN akan berbincang dengan kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan walaupun kita diekcualikan tahun ini.

“Kita kena perbaiki, mantapkan penguatkuasaan serta mekanisme kawalan supaya tidak berlaku penyeludupan atau ketirisan subsidi ini,” jelasnya.