64 Mangsa Banjir Dipindahkan di Kampung Suasa, Beaufort

64 Mangsa Banjir Dipindahkan di Kampung Suasa, Beaufort

0
SHARE

BEAUFORT: Seramai 64 orang daripada 20 Ketua Isi Rumah (KIR) dipindahkan susulan kejadian banjir di Kampung Suasa di sini, petang Jumaat.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah memaklumkan panggilan diterima pada jam 4.10 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort tiba di lokasi pada jam 4.58 petang, melibatkan jarak 27 kilometer.

Menurut Komander Operasi, PBK II Muhammad Noor Haiqal Abdullah, semua mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon.

Operasi yang melibatkan lima anggota bomba itu terkawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.58 petang.

Pemantauan di kawasan yang masih dinaiki air terus dijalankan dari semasa ke semasa dan pasukan bomba bersiap siaga untuk operasi pemindahan lanjut sekiranya diperlukan.

Operasi turut dibantu dua anggota polis dan empat anggota APM.