Kanak-Kanak Lelaki Maut, Tiga Parah dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Jalan Kg...

Kanak-Kanak Lelaki Maut, Tiga Parah dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Jalan Kg Tampi-Tampi

0
SHARE

SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut manakala tiga lagi cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Tampi-Tampi, di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis double cab yang dipandu seorang wanita serta sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama seorang pembonceng lelaki dewasa dan dua orang kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Tan Hiap Wah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan double cab terbabit sedang membelok masuk ke simpang jalan di sebelah kanan sebelum dilanggar oleh motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran tersebut, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang merupakan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, penunggang motosikal, seorang pembonceng dewasa serta seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Semporna, Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021 atau Balai Polis Semporna di talian 089-782020, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, pihak Polis Diraja Malaysia menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan, khususnya melibatkan kanak-kanak.