Projek Naik Taraf LRA Kogopon Fasa 2, Capai Perkembangan Positif – Armizan

Projek Naik Taraf LRA Kogopon Fasa 2, Capai Perkembangan Positif – Armizan

0
SHARE
LRA Kogopon Fasa 2

PAPAR: Perkembangan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 setakat bulan pertama tahun ini telah mencapai status kemajuan 4.84 peratus berbanding jangkaan 2.55 peratus sejak pelancarannya pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, momentum itu perlu perlu diteruskan sementara beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang dan Limbahau akan terus memantau projek tersebut bagi memastikan ia siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, keseluruhan projek yang menelan belanja sebanyak RM365 juta itu dijangka akan siap dalam tempoh tiga tahun yang mana ia sudah dimulakan sejak Ogos 2023 sehinggalah Ogos 2026.

“Tapi bila kita bincang tadi, sama ada boleh untuk fasa pertama ditumpukan bagi menyiapkan loji rawatan itu dulu sebab projek ini dia ada komponen sistem perpaipan dan sebagainya.

“Jadi kontraktor sebut boleh untuk buat melalui Perakuan Siap Kerja (CPC) kalau dipersetujui oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Kementerian Kerja Raya dan juga Kerajaan Negeri.

 

“Jadi ini akan kita usahakan supaya penyiapaan loji difokuskan agar boleh merawat sekali ganda kapasiti itu dari 40 juta liter sehari kepada 80 juta liter sehari. Kontraktor sebut tadi mereka boleh usaha menyiapkannya dalam tempoh dua tahun, tapi kita minta kalau boleh disiapkan dalam tempoh satu tahun setengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2 di Papar pada Jumaat.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, apabila projek itu selesai, peningkatan kapasiti loji yang menghasilkan air terawat kepada 80 juta liter sehari itu tidak hanya memanfaatkan Papar tetapi juga luar kawasan Papar.

“Projek peningkatan kapasiti ini secara keseluruhannya tidak hanya akan memanfaatkan kawasan Parlimen Papar, tapi juga akan ke kawasan Ulu Kimanis, Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) Kimanis serta kawasan Selatan Putatan dan Kem Lok Kawi,” jelasnya.