KOTA BELUD: Sembilan mangsa terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kampung Pandasan, di sini petang kelmarin, dengan seorang daripadanya tersepit dalam kereta jenis Toyota Avanza manakala lapan lagi cedera.
Dalam kejadian jam 2.37 petang itu, Toyota Hilux bertembung dengan Toyota Avanza dan Isuzu D-Max, menyebabkan seorang mangsa terperangkap di tempat duduk hadapan Avanza sebelum berjaya diselamatkan pasukan bomba menggunakan peralatan Rescue Tools.
Komander Operasi, PBK I Suffian Aban berkata, dua mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala dua lagi dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba untuk rawatan lanjut.
“Empat mangsa yang cedera terdiri daripada seorang wanita berusia 35 tahun, seorang wanita 56 tahun, seorang lelaki 18 tahun dan seorang lelaki berusia 61 tahun. Mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Operasi yang melibatkan sembilan anggota dari BBP Kota Belud dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS itu tamat pada jam 3.50 petang setelah kawasan disahkan selamat.






