KOTA KINABALU: Transformasi pendidikan memerlukan kerjasama dua hala antara institusi pendidikan dan kerajaan, namun kawalan penggunaan digital dalam kalangan pelajar kini menuntut garis panduan mendesak.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata penyalahgunaan media sosial tanpa kawalan dalam kalangan pelajar merupakan masalah serius yang memerlukan reformasi bersapadu.
“Kawalan akses digital dalam kalangan pelajar wajar digubal segera supaya tidak menjadi lebih parah,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi & Anugerah Cemerlang Tahun 6 Sekolah Rendah Sacred Heart 2025, pada Khamis.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC) perlu bekerjasama merangka dasar baharu bagi mengawal akses digital pelajar.
Menurutnya, langkah itu penting terutama bagi pelajar sekolah rendah dan menengah supaya mereka memahami batas penggunaan media sosial, termasuk risiko penyebaran maklumat palsu.
Masiung bimbang gelombang digital tanpa sempadan dalam kalangan pelajar pelbagai peringkat menyumbang kepada kemerosotan pendidikan dan perlu ditangani melalui dasar dan perundangan.
“Kerajaan wajar mendengar isu ini kerana kami di peringkat negeri dan ibu bapa sudah lama menyuarakannya, namun belum ada tindakan sewajarnya.
“Usaha kerajaan memartabatkan modal insan akan menemui jalan buntu selagi reformasi memerangi penyalahgunaan digital pelajar tidak diatasi,” katanya.






