KOTA KINABALU, SABAH – Perjuangan selama 42 tahun akhirnya membuahkan hasil kepada penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Keempat, Datuk Jasni Matlani.
Anak jati Beaufort itu berharap anugerah yang diperolehnya dapat mendorong para penulis muda untuk terus menghasilkan karya yang terbaik.
“Satu tempoh yang agak panjang tetapi Alhamdulillah hari ini menuai hasil, tidak ada jalan mudah untuk kita berjaya dalam sesuatu bidang termasuk bidang penulisan.
“Jadi saya menyarankan kepada anak-anak muda supaya mereka bersungguh-sungguh, bekerja keras dan menghasilkan karya yang baik serta konsisten sepanjang masa supaya mereka boleh mendapat sesuatu di kemudian hari.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada isteri, keluarga dan anak-anak saya kerana memahami tugas sebagai penulis yang memang banyak masa saya gunakan untuk menulis berbanding dengan mengurus keluarga.
“Inilah yang terpaksa saya korbankan untuk menjadi penulis yang baik di Sabah mahupun di peringkat Serantau,” katanya semasa Majlis Anugerah Pena Kinabalu 2024 yang diadakan di sini, pada Jumaat.
Beliau menerima ganjaran berjumlah RM30 ribu, Warkah Penghormatan dan kemudahan penerbitan karya serta penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.
Majlis tersebut disempurnakan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni. — JABATAN PENERANGAN SABAH