Golongan Muda Harus Terlibat Dalam Program Merdeka

Golongan Muda Harus Terlibat Dalam Program Merdeka

0
SHARE
Limus
Limus menerima cenderamata daripada Jainisah (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Nelson (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KUALA PENYU, SABAH – Golongan muda harus dilibatkan dalam apa jua penganjuran program kemerdekaan.

Menurut Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury, penyertaan golongan tersebut amat penting bagi melahirkan generasi masa depan yang mempunyai jati diri serta semangat patriotisme yang tinggi.

“Penglibatan orang muda mesti kita jadikan keutamaan dalam program kenegaraan, program kemerdekaan supaya mereka ini tidak tertinggal daripada kempen yang dijalankan oleh kerajaan.

“Paling penting, penglibatan mereka ini dapat menggalakkan orang muda untuk memperingati perjuangan bapa-bapa kemerdekaan kita dahulu dan sama-sama dengan komuniti dalam mengekalkan kemerdekaan negara kita,” ujarnya selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Daerah Kuala Penyu sempena Linsuk Mini Fiesta.

Mengulas mengenai Program KMJG, Limus berharap semua rumah, premis serta pejabat-pejabat jabatan serta agensi kerajaan terus mengibarkan Jalur Gemilang sehingga 16 September depan.

“Saya berharap dengan lancarnya program ini, semua premis, pejabat jabatan serta agensi kerajaan yang ada di Daerah Kuala Penyu akan terus mengibarkan Jalur Gemilang.

“Saya juga melihat mini fiesta ini sebagai platform yang amat baik untuk memupuk semangat kebersamaan komuniti di kampung-kampung yang terlibat dan saya berharap ia akan diteruskan pada tahun yang akan datang,” tambah beliau.

Pada majlis tersebut, Limus yang diiringi Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor menyampaikan Jalur Gemilang kepada Pegawai Daerah Kuala Penyu, Nelson Domil Oluk dan Penolong Pegawai Daerah Menumbok, sebelum menyempurnakan flag off Konvoi KMJG 2024 Negeri Sabah ke destinasi seterusnya iaitu Daerah Sipitang. — JABATAN PENERANGAN SABAH

SHARE
Previous articleBiar Kalah Asal Bergaya
Next articleBelia Perlu Isi Kemerdekaan Sebaiknya – Matbali
Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.