Belia Perlu Isi Kemerdekaan Sebaiknya – Matbali

Belia Perlu Isi Kemerdekaan Sebaiknya – Matbali

0
SHARE
Matbali
Matbali (tengah) menyempurnakan gimik perasmian KMJG 2024 Peringkat Daerah Sipitang ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SIPITANG, SABAH – Golongan belia perlu mengisi kemerdekaan dengan sebaiknya, kata Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.

Beliau yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia berkata golongan belia yang bakal mewarisi kepimpinan negara ini harus memahami erti kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan dengan sebaik mungkin.

“Saya mengharapkan kepada semua belia supaya akan terus memikirkan bagaimana cara untuk mengisi kemerdekaan.

“Seperti kita maklum, mereka ini merupakan pelapis dan juga pemimpin akan datang maka sudah tentu yang akan mencorakkan masa depan negara ini adalah belia.

“Jadi, kita mengharapkan supaya belia akan terus bersama berganding bahu dan berkolaborasi untuk memastikan supaya mereka terus memartabatkan kemerdekaan serta memastikan golongan ini menjadi anak yang merdeka dan mengisi kemerdekaan sebaik mungkin.

“Kita mengharapkan mereka tidak terlibat dengan gejala sosial yang merunsingkan dan mendatangkan kegelisahan di kalangan ibu bapa, masyarakat dan pemimpin masa kini.

“Ini amatlah penting kerana mereka adalah modal insan yang perlu kita gilap dan kita pertahankan”, ujar Matbali kepada media selepas merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Sipitang di Esplanade Sipitang yang turut dihadiri Pegawai Daerah, Awang Raimy Pg Abd Rahman.

KMJG Negeri Sabah 2024 yang diketuai oleh Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor kini masuk hari keempat selepas menghabiskan perjalanan sejauh 320km melibatkan 15 hentian dan merentasi enam daerah sebelum tiba ke Sipitang sebagai daerah ketujuh. — JABATAN PENERANGAN SABAH