KOTA KINABALU: Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) mencatat pencapaian bersejarah apabila berjaya menyalurkan bayaran dividen dan bayaran balik pinjaman tertinggi kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh 15 tahun.
Bagi tahun 2025, SEDCO telah membayar keseluruhan RM10 juta kepada kerajaan negeri, merangkumi RM2 juta dividen dan RM8 juta bayaran balik pinjaman.
Prestasi ini mencerminkan pemulihan kewangan yang kukuh serta peningkatan prestasi keseluruhan Kumpulan SEDCO.
Pencapaian ini direkodkan hanya 10 bulan selepas pelantikan Datuk Ar. James Wong Kein Peng sebagai Pengurus Besar Kumpulan pada Mac 2025, sejajar dengan pendekatan Kerajaan Negeri untuk memperkasa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui kepimpinan profesional berasaskan industri.
Datuk James merakamkan penghargaan kepada seluruh warga SEDCO atas komitmen dan usaha kolektif yang membuahkan hasil tersebut, sambil menegaskan peranan SEDCO dalam menjana nilai ekonomi dan pulangan kewangan kepada negeri.
Bagi tahun 2026, SEDCO menyasarkan untuk menggandakan bayaran dividen dan pinjaman kepada RM20 juta, didorong oleh prestasi anak syarikat, inisiatif transformasi serta kekuatan sistem operasi dan kepimpinan.
Prestasi kewangan SEDCO turut disokong oleh beberapa inisiatif utama, termasuk penambahbaikan tadbir urus dan ketelusan perolehan, pembangunan projek berskala besar bernilai berbilion ringgit seperti hab logistik, taman perindustrian, projek pelancongan dan komersial, serta pelaksanaan program pembangunan usahawan Bumiputera Sabah secara menyeluruh.
Selain itu, SEDCO turut memperkenalkan sistem KPI berasaskan prestasi bagi meningkatkan akauntabiliti, membangunkan bakat dan kepimpinan muda melalui inisiatif khas, serta memulihkan projek legasi yang tertangguh seperti Darvel Bay Plaza di Lahad Datu dan KKIP SME Park.
Dengan pembaharuan korporat, disiplin kewangan yang lebih kukuh dan kepimpinan yang mantap, SEDCO memasuki tahun 2026 dengan hala tuju yang jelas dan momentum pertumbuhan positif, selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi Negeri Sabah.






