Pendekatan Turun Padang RTM Menyelami Nadi Rakyat – Bung

Pendekatan Turun Padang RTM Menyelami Nadi Rakyat – Bung

0
SHARE
SAMPAIKAN SUMBANGAN...Hassan yang mewakili Bung diiringi oleh Nor'ain dan Zulkefli menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf sempana majlis tersebut...

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin memuji usaha yang dilakukan oleh stesen penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) khususnya di Sabah.

Katanya RTM Sabah khususnya bukan sahaja merakyatkan melalui informasi yang cepat dan tepat tetapi melangkah jauh melalui tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

Menurut Bung, pendekatan turun padang yang dilaksanakan RTM sudah tentu selari dengan tuntutan semasa dan mengubah presepsi masyarakat bahawa RTM bukan hanya sebagai badan penyiar maklumat dan hiburan tetapi juga merasai denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.

“Apabila RTM turun padang melalui pelbagai programnya sudah tentu rakyat lebih merasi kewujudanya,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Ramadan Sedekad RTM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Kepayan kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Kerja Raya Hassan Mahali.

PENGHARGAAN..Hassan menerima cendera kenangan dari Zukefli selepas mewakili Bung merasmikan majlis tersebut…

Beliau berkata petugas media RTM perlu turun ke bawah bagi memastikan RTM terus menjadi juara dalam dunia penyiaran negara.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, program Jelajah Ramadhan ini adalah sesuatu yang positif dan wajar diteruskan bukan sahaja di bulan Ramadhan malah diperbanyakkan di masa lain.

“Ini kerana bantuan-bantuan yang disampaikan akan dapat mengurangkan beban mereka yang kurang berkemampuan selain mengwujudkan rasa kasih sayang dalam konsep Keluarga Malaysia…

“Pendekatan seperti ini juga membantu kerajaan dalam menyampaikan segala dasar-dasar dan hala tuju negeri demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambahnya, RTM merupakan entiti yang mempunyai kredibiliti dan merupakan organisasi yang mendapat kepercayaan rakyat secara keseluruhan menerusi penyiaran berita serta program yang berkualiti, matang dan berkebolehpercayaan tinggi.

Selain itu Bung berkata program seupamanya juga dapat menyatupadukan masyakat yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya di negeri ini.

Hadir sama di majlis tersebut Pengarah Bahagian Radio Nor’ain Haji Bakir, Pengarah Penyiaran Sabah Zulkefli Mohd dan Pengarah Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah.