KUALA LUMPUR, MALAYSIA – Tindakan seorang insan murah hati yang menyalurkan bekalan makanan kepada pekerja Grab Food yang dilihat membonceng dua orang anak mengundang sebak warganet.
Klip rakaman yang dimuatnaik menerusi platform TikTok menunjukkan individu yang dipercayai sukarelawan bagi Progam Dapur It’am berhenti di bahu jalan untuk memberi makanan kepada anak beranak itu.
Program Dapur It’am merupakan inisiatif Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menyediakan edaran pek makanan bermasak secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan.
“Ada kalanya kita terpaksa lakukan sesuatu perkara atas sebab tertentu. Kesusahan dan kesukaran kita bukan semua orang tahu…
“Kami berhenti dan beri makanan Dapur It’am untuk mereka anak beranak. Moga dipermudahkan urusan dan selamat dalam perjalanan,” demikian kapsyen pemuatnaik itu di video tersebut.
Di ruangan komen video berkenaan, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan memberi kata-kata semangat abang Grab Food tersebut atas pengorbanannya sebagai seorang ayah.
“Tak tahan air mata saya tengok video ni. Semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan untuk dia dan anak-anak dan juga orang yang membantu,” ciap Cik Keyla.
“Aku tak berasa dalam kasut kau bro.. tapi berkaca juga mata aku. Aku mampu berdoa bro semoga mudah segala urusan kau sekeluarga dan murah rezeki dan anak yang pandai,” ciap Koram Nyor.
“Sebaknya tengok pengorbanan dia. Semoga Allah sentiasa lindungi dia untuk anak-anak dan keluarga,” ciap Munirah Mat Zin.