GEORGETOWN: Lelaki memiliki empat rekod lampau ditahan selepas cuba merampas submesingan jenis HK MP5 milik anggota di pintu pagar Balai Polis Dato’ Keramat di sini, awal pagi tadi.
Suspek berusia 35 tahun berkenaan dikatakan menunggang motosikal kemudian menghampiri anggota yang sedang bertugas di balai berkenaan pada jam 4 pagi sebelum meminta membuka pintu pagar.
Menurut sumber, anggota berkenaan meminta suspek menyatakan tujuan datang namun lelaki iti mengeluarkan kata-kata kesat selain menceroboh masuk perkarangan balai.
Sebaik memasuki pekarangan balai, suspek cuba merampas submesingan HK MP5 dalam milikan anggota berkenaan namun gagal, lapor Metro.
Susulan itu, anggota berkenaan cuba menenangkan suspek termasuk memberi amaran supaya tidak mengulangi tindakannya, tetapi suspek secara tiba-tiba membuka topi keledarnya dan menyerang anggota terbabit.
Tindakan suspek gagal selepas anggota berkenaan yang dibantu rakan setugas berjaya menahannya.
Difahamkan, suspek mengalami kecederaan pada muka dan tangan susulan bergelut ketika anggota melakukan tangkapan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Suspek dilaporkan datang dalam keadaan mabuk ketika kejadian manakala saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.
Difahamkan suspek direman empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung insiden itu.