SIPITANG, SABAH – Taraf ekonomi penduduk Kampung Pelakat di sini dijangka berganda dengan kemudahan rangkaian internet melalui pelancaran pusat e-Desa pada hari ini.
Projek bernilai RM RM 799,830 itu merupakan salah satu daripada 36 yang seumpanya di seluruh Sabah melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MoSTI).
Menterinya, Datuk Haji Yakub Khan berkata, beberapa lagi pusat akan dibina di kawasan pedalaman negeri dengan mengutamakan pelajar yang mengikuti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Menjelang tahun 2022, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan meliputi 90 peratus kawasan di seluruh Negeri Sabah…
“Selain daripada itu, pihak kementerian juga dalam pelaksanaan memasang kemudahan internet teknologi satelit, Very Small Aperture Terminal (VSAT) di 300 lokasi yang dikenal pasti menjelang tahun 2022,” jelasnya mengenai 10 peratus kawasan lagi.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah sentiasa memberi penelitian terperinci bagi menyediakan prasarana bagi kawasan luar bandar.
“Saya percaya dengan ini keperluan akses internet seluruh Sabah dapat dipenuhi dan agar kemudahan sama dapat dinikmati serta jurang digital antara komuniti bandar dan luar bandar dapat dirapatkan,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis pelancaran adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin, Datuk Yusof Yacob.

Katanya, Kampung Pelakat sudah lama mendahagakan pusat internet untuk penduduknya bekerja dan berinteraksi.
“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah dan MoSTI. Saya juga mengharapkan dengan adanya pusat e-Desa, penduduk di sini dapat memaksimumkan kegunaannya…
“Pusat ini boleh juga digunakan sebagai tempat untuk mengadakan kurus, belajar dan berniaga secara atas talian.
“Lokasinya amatlah sesuai iaitu di tengah-tengah kampung dengan jumlah penduduk yang padat lebih 140 buah rumah,” katanya.
Yusof berkata Kerajaan Negeri bukan sahaja peka kepada pembangunan di kawasan luar bandar tetapi juga di kampung dengan matlamat masyarakat Sabah boleh terus maju setaraf dunia.





