PENAMPANG: Seorang lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam satu serbuan berkaitan kes dadah di Kampung Nosoob, Jalan Towering, sini, sekitar sekitar jam 4.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat kira-kira 50.5 gram dengan nilai anggaran RM2,500.
“Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah dua buah kenderaan serta wang tunai berjumlah RM1,800,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki berusia 55 tahun dan wanita berusia 54 tahun positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti dadah agar tampil menyalurkannya ke balai polis berdekatan,” ujar Sammy.






