KOTA KINABALU: Seorang pakar patologi forensik kanan hari ini memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Zara Qairina Mahathir berkemungkinan besar “turun” dari tempat tinggi asrama sekolahnya atas kehendak sendiri, berdasarkan penemuan forensik yang tidak menunjukkan sebarang tanda dia ditolak atau terjatuh secara tidak sengaja.
Memetik Bernama, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh berkata, tiada bukti perubatan atau forensik yang menunjukkan sebarang pergelutan atau unsur kekerasan dalam kejadian itu.
“Saya akan menolak kemungkinan jatuh secara tidak sengaja atau ditolak… dan ia paling berkemungkinan orang itu turun atas kehendaknya sendiri,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Isnin.
Beliau berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan pola kecederaan, video olah tempat kejadian dan bukti perubatan, termasuk kecederaan yang konsisten dengan jatuhan dari tempat tinggi dengan impak kuat pada kaki sebelum kesan hentakan ke bahagian lain badan.
Dr Bhupinder turut menyatakan bahawa kecederaan dialami menyokong teori mangsa jatuh kaki dahulu sebelum rebah ke belakang, dan menegaskan tiada tanda berlaku pergelutan atau individu lain terlibat secara fizikal.
Bagaimanapun, beliau mengakui pendapatnya adalah berdasarkan patologi forensik dan bukan bidang biomekanik jatuhan secara khusus, walaupun kedua-dua disiplin membantu dalam analisis kes.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama sekolahnya di Papar.






