Kerjasama Diperkasa, Namun Sabah Tegas Tuntut Hak Tanpa Kompromi

Kerjasama Diperkasa, Namun Sabah Tegas Tuntut Hak Tanpa Kompromi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Walaupun kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh, Sabah kekal tegas menuntut pelaksanaan penuh haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri, tanpa sebarang kompromi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hubungan strategik yang erat antara kedua-dua kerajaan penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan, namun hak Sabah perlu direalisasikan sepenuhnya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud bersama rombongannya di pejabatnya pada Isnin.

Menurut Masidi, kedua-dua pihak bersetuju bahawa pelaksanaan MA63 perlu dipercepatkan, selari dengan keperluan memastikan hak Sabah dilaksanakan secara tuntas dan tidak lagi tertangguh.

“Kerjasama ini penting, namun pada masa sama kita perlu memastikan hak Sabah, termasuk tuntutan hasil negeri, dapat direalisasikan sepenuhnya demi kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan penyelarasan berterusan antara agensi Persekutuan dan Negeri bagi memastikan setiap keputusan yang dicapai dapat diterjemahkan secara berkesan di peringkat pelaksanaan, khususnya di akar umbi.

Masidi turut mengingatkan semua pihak agar sentiasa bersedia dalam mengurus ekonomi negeri berdepan ketidaktentuan global, termasuk konflik antarabangsa, tekanan inflasi serta perubahan pasaran dunia yang boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan.

“Kerajaan negeri perlu terus mengamalkan pendekatan berhemah dalam perbelanjaan serta memberi tumpuan kepada semua sektor bagi memastikan kestabilan ekonomi Sabah kekal terpelihara,” katanya.

Pertemuan itu mencerminkan usaha berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik, namun dengan pendirian jelas Sabah untuk memastikan hak negeri terus diperjuangkan dan direalisasikan tanpa sebarang kompromi.