KOTA KINABALU: Sabah terus mengorak langkah sebagai hab tenaga serantau apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) dan rakan industri antarabangsa bagi pembangunan hab tenaga bersepadu di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), sekali gus membuka potensi pelaburan bernilai tinggi dan peluang pekerjaan baharu di negeri ini.
Majlis yang berlangsung di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu itu pada Isnin diadakan sempena kunjungan hormat delegasi SOGDC bersama rakan strategiknya termasuk EA Gibson, ACWA Power, Aboitiz Power Ltd dan WEC.
Delegasi SOGDC diketuai Pengerusinya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, bersama Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd Azmir Ramli serta barisan ahli lembaga pengarah. Turut hadir wakil rakan strategik antarabangsa termasuk Aboitiz, ACWA, EA Gibson, WEC dan Green Parrot dari Abu Dhabi.
Dalam pertemuan itu, Hajiji dan Shahelmey menyaksikan pertukaran beberapa MoU strategik dan komersial yang merangka kerjasama awal bagi pembangunan hab tenaga di kawasan seluas kira-kira 275 ekar di SOGIP.
Cadangan pembangunan itu merangkumi pembinaan kemudahan penyimpanan dan pengagihan tenaga bersepadu termasuk gas asli cecair (LNG), ammonia dan hidrogen, selain pembangunan infrastruktur petrokimia serta penjanaan tenaga.
Sebagai komponen utama, kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bersama ACWA Power bagi pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti antara 400 hingga 500 megawatt (MW).
Aboitiz Power Ltd pula meneliti pembangunan sistem grid penghantaran tenaga, manakala WEC mempertimbangkan pembinaan jeti dan tangki simpanan.
Sementara itu, syarikat gergasi tenaga dunia, Saudi Aramco, turut menyatakan minat awal untuk menyertai projek berkenaan sebagai rakan strategik dan pembekal utama LNG.
Hajiji berkata, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah.
“Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan pembangunan hab tenaga ini kerana ia bukan sahaja berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi, malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan industri hiliran di Sabah.
“Kita komited untuk menyediakan persekitaran kondusif kepada pelabur, di samping memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan SOGIP sebagai hab tenaga bersepadu akan terus memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas, selain meningkatkan kapasiti infrastruktur tenaga negeri serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.






