NABAWAN, SABAH – Pasukan bomba daerah ini memastikan air banjir tidak menjadi penghalang untuk seorang pelajar perempuan Tingkatan 6 ke sekolah.
Sepasukan lapan digerakkan untuk bantuan kemanusiaan di Kampung Pumantarian sebaik menerima panggilan 7.20 pagi itu.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan pasukan tiba di lokasi kira-kira 2km dari Balai Bomba dan Penyelamat Nabawan dalam masa 25 minit.
“Pelajar tersebut telah dihantar ke SMK Nabawan dengan selamat menggunakan kenderaan utiliti Toyota Vigo.
“Paras air menutupi tayar kenderaan utiliti pacuan empat roda dan masih naik ketika operasi,” kata seorang jurucakap agensi.
Operasi yang turut melibatkan kenderaan utiliti Mitsubishi Triton dan sebuah bot ditamatkan pada jam 8.29 pagi.