PUTRAJAYA – Sebanyak 261 kes COVID-19 yang dijangkiti varian membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2) dan Beta (B.1.351) berjaya dikesan dalam negara ini oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM melalui Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 259 kes melibatkan jangkitan varian Delta dan dua lagi adalah melibatkan jangkitan varian Beta.
Menurutnya lagi, varian berkenaan berjaya dikesan hasil kajian secara berterusan dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Genom Malaysia (MGI).
Selain itu, ia turut dibantu Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre Universiti Malaya (TIDREC-UM) dan Fakuliti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM).
“FOM-UM mengenal pasti 72 kes yang semuanya adalah varian Delta, IMR (55 kes varian Delta), iPROMISE-UiTM (46 kes varian Delta), MGI (45 kes varian Delta dan satu Beta) serta TIDREC-UM (41 varian Delta dan satu Beta).
“Bagi varian Delta, ia dikesan di semua negeri iaitu tertinggi dilaporkan di Selangor dengan 72 kes, Pulau Pinang (33), Kedah (29) dan Perak (26).
“Selain itu, Kelantan (23), Terengganu (19), Sabah (18), Johor (15) dan Pahang (11), Kuala Lumpur (6), masing-masing tiga di Perlis dan Labuan serta satu di Putrajaya…
“Sementara itu, bagi dua varian Beta, masing-masing satu kes dikesan di Selangor dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Dr Noor Hisham berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 2,645 kes.
“Daripada jumlah dinyatakan itu, sebanyak 2,625 kes adalah VOC dengan 20 kes merangkumi VOI,” katanya lagi.
Memperincikan jumlah kes dikesan mempunyai varian berkenaan, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini 2,385 kes COVID-19 mempunyai varian Delta, Beta (226), Alpha (14).
“Selain itu, bagi varian VOI pula, ia membabitkan varian Theta (13 kes), Kappa (empat) dan Eta (tiga),” tambah beliau.