KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan setiap amanah yang dipikul penjawat awam dan agensi kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan sekadar memegang jawatan.
Beliau berkata, tanggungjawab itu menuntut semua pihak memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya golongan pekebun kecil dan komuniti luar bandar.
“Jangan kita berbangga dengan jawatan, tetapi di peringkat bawahan kita gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Amanah kita bukan sekadar menjawat jawatan, tetapi memastikan rakyat dilayani dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah baharu Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Ibu Pejabat agensi itu di Wisma Pertanian, kelmarin.
Menurutnya, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap aduan rakyat termasuk melalui media sosial, sebelum menyalurkannya kepada pihak pengurusan untuk tindakan segera.
“Saya layan semua aduan, termasuk di Facebook. Kalau ada yang mengadu jalan pertanian rosak atau tanah tidak diusahakan, saya akan ambil tangkap layar dan hantar kepada pengurusan. Keesokannya, tindakan terus diambil.
“Itu yang saya mahu – kita bekerja untuk rakyat,” katanya.
Jamawi turut berkongsi pengalaman peribadinya dalam bidang penyelidikan pertanian serta menghargai bimbingan pegawai kanan yang membentuk perjalanan kerjayanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga LIGS baharu atas pelantikan masing-masing, sambil berharap mereka dapat memperkukuh peranan organisasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, pelantikan tersebut merupakan satu amanah besar yang memerlukan komitmen tinggi serta keikhlasan dalam membantu masyarakat.
“Kita perlu pastikan setiap usaha yang dilaksanakan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, walaupun kecil, ia tetap bermakna,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kebanyakan rakyat luar bandar tidak mengharapkan sesuatu yang besar, sebaliknya hanya memerlukan kemudahan asas yang baik untuk menjalani kehidupan seharian.
“Mereka hanya mahu jalan yang baik dan kemudahan asas yang sempurna. Bila kita bantu, mereka sangat menghargainya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.
Turut hadir Pembantu Menteri II, Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Jumain Abdul Ghani; Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Dzulkernain Awang Hassan; Pengerusi LIGS baharu, Jahid Jahim; Pengurus Besar LIGS, Sabdil Tanjong; Timbalan Pengerusi, Aliamis Sami serta barisan ahli lembaga pengarah LIGS.






