Ops Tiris 4.0: KPDN, ESSCOM Gempur Penyelewengan, 100 Liter Petrol Dirampas di...

Ops Tiris 4.0: KPDN, ESSCOM Gempur Penyelewengan, 100 Liter Petrol Dirampas di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna berjaya merampas 100 liter petrol dalam satu operasi bersepadu bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang dijalankan di sekitar daerah ini, pada Rabu.

Menurut KPDN Semporna, operasi bermula seawal jam 6.00 pagi hingga 9.00 malam itu melibatkan pemeriksaan di beberapa lokasi strategik termasuk premis hotel, kawasan pembangunan serta penempatan setinggan, bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan selain memastikan pematuhan undang-undang.

Hasil operasi, KPDN merekodkan lima (5) kes Kompaun On The Spot (KOTS) serta satu (1) kes biasa.

Daripada jumlah itu, tiga kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, manakala dua kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Sementara itu, satu kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan rampasan 100 liter petrol yang disimpan dalam enam jeriken dengan anggaran nilai RM387.

Keseluruhan kompaun yang dikenakan berjumlah RM1,300, manakala sebanyak 17 kenyataan pemeriksaan turut dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan.

KPDN menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan kestabilan bekalan, melindungi pengguna serta membanteras penyelewengan barang kawalan.

Pada masa sama, KPDN merakamkan penghargaan kepada ESSCOM dan semua agensi penguatkuasaan yang terlibat atas kerjasama erat dalam menjayakan operasi berkenaan.

Orang awam turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi KPDN bagi tindakan lanjut.