Kes COVID-19 Sabah Melonjak 356 Peratus

Kes COVID-19 Sabah Melonjak 356 Peratus

0
SHARE
Joachim
Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kes COVID-19 di Sabah melonjak 356 peratus pada minggu dari 216 kes pada minggu ke-49 tahun 2023 kepada 984 kes pada minggu berikutnya (16 Dis).

Jurucakap COVID-19 Sabah, Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, sebanyak 103 kes positif baharu dicatat semalam (Selasa).

“Sebanyak 139 pesakit sedang menerima rawatan dengan 135 orang di hospital dan empat orang di fasiliti swasta.

“Terdapat empat orang pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal di ICU serta dua orang pesakit memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam laporan mingguan COVID-19 Sabah.

Joachim yang Timbalan Ketua Menteri II Sabah berkata kesemua kes itu membabitkan warganegara tempatan.

“Satu kes kematian dilaporkan pada minggu lalu berbanding 0 kes pada minggu sebelumnya manakala bilangan pesakit COVID-19 dalam rawatan meningkat sebanyak 55 peratus (86 kes kepada 133 kes),” tambahnya.

Tiga daerah tersenarai dengan kes tertinggi ialah Kota Kinabalu (413 kes), diikuti Papar (62) dan Penampang (109).

Hanya daerah Nabawan, Kunak, Beluran dan Kalabakan tidak mencatatkan sebarang kes bagi minggu ini.

“Dalam mengawal penularan COVID-19, orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kebersihan diri pada tahap optimum seperti kerap mencuci tangan.

“Pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam kepada golongan berisiko dan juga mereka yang bergejala adalah digalakkan.

“Kepada mereka yang belum mendapatkan dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin, bagi tujuan mengurangkan risiko penularan jangkitan, anda dinasihatkan untuk berhubung dengan Klinik Kesihtaan yang berdekatan.

“Kepada mereka yang berisiko, anda disarankan untuk mendapatkan rawatan antiviral Paxovid yang boleh diperolehi di Klinik Kesihatan yang berdekatan,” tegasnya.