Makmal Hidup Bencana Alam Jadi Tumpuan Komuniti Saintifik Dunia

Makmal Hidup Bencana Alam Jadi Tumpuan Komuniti Saintifik Dunia

0
SHARE

KOTA KINABALU: Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM) di bawah Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mendapat perhatian komuniti saintifik antarabangsa apabila menerima lawatan delegasi Akademi Sains Rusia (Russian Academy of Science, RAS) baru-baru ini.

Delegasi tersebut diketuai Presiden Far Eastern Branch RAS, Profesor Dr. Yuri Kulchin bersama Naib Presiden, Profesor Dr. Pavel Krestov dan pegawai penyelidikan RAS, Marina Shtets.

Lawatan ini bertujuan meninjau model Makmal Hidup Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang dibangunkan NDRC di Kg. Melangkap Baru, Kota Belud.

Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, lawatan itu membuktikan minat global terhadap inovasi pengurusan bencana komuniti di Sabah dan mengukuhkan kedudukan UMS sebagai rujukan serantau dalam penyelidikan perubahan iklim dan bencana.

Menurutnya, MaHBAM berfungsi sebagai platform lapangan bagi pembangunan sistem amaran awal, kesiapsiagaan komuniti dan penerapan teknologi melalui kerjasama antara penyelidik, agensi, dan masyarakat setempat.

Delegasi turut dibawa melawat fasiliti operasi MaHBAM termasuk sistem sensor amaran banjir yang dibangunkan Impact Sense: Laboratory for Physics-Driven Sensing and Social Innovation, serta lokasi berkaitan bekas bencana di Taman Negara Kinabalu dan Mesilou.

Selain lawatan tapak, delegasi RAS turut mengadakan perbincangan di Pejabat Naib Canselor UMS bagi meneroka kerjasama penyelidikan berkaitan pengurusan risiko bencana dan perubahan iklim.

Lawatan disertai kepimpinan tertinggi UMS termasuk Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly serta Dekan FST, Profesor Ts. Dr. Rodeano Roslee.

Lawatan ini mengukuhkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha NDRC dan UMS dalam membangunkan penyelidikan berimpak global, seiring aspirasi UMS sebagai universiti lestari bertaraf dunia.