PENAMPANG: Tiga lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang di Jalan Bundusan pada awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu melebihi had alkohol yang dibenarkan.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.
Menurut beliau, sepanjang operasi tersebut, polis turut mengeluarkan tujuh saman terhadap individu yang didapati tidak memiliki lesen memandu.
“Operasi ini diketuai Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Hj Ahmad bersama enam anggota, dengan pemeriksaan ke atas 72 individu dan 60 kenderaan,” katanya.
Superintendan Sammy menjelaskan Op Mabuk dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara serta mengingatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan peraturan trafik yang berkuat kuasa.






