KOTA KINABALU: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membidas kenyataan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Aziz Jamman yang mempertikai keputusan Petronas membeli gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat.
Menurut Tengku Zafrul, Aziz seolah-olah ‘baru sedar’ tentang urus niaga Petronas dengan Amerika Syarikat walhal perkara itu sudah berlaku ketika beliau sendiri masih dalam kerajaan.
“Untuk makluman, Datuk Aziz ni pernah jadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2018 hingga 2020. Masa dia dalam kerajaan pun Petronas dah mula beli LNG dari Amerika Syarikat.
“Masa tu ada dia kata pembelian ini tak masuk akal? Tak ada langsung. Sekarang bila bukan lagi dalam kerajaan, terus kata Petronas tak patut beli dari Amerika.
“Macam-macam lah orang zaman sekarang. Pandai-pandailah korang pilih wakil rakyat nanti ya,” sinisnya.
Tengku Zafrul berkata demikian dalam video yang dimuat naik di Facebook pada 1 Nov lalu.
Aziz sebelum ini lantang mendakwa pembelian LNG dari Amerika tidak masuk akal dan menggambarkannya sebagai bukti kerajaan lebih mengutamakan negara luar daripada memperkukuh kapasiti Sabah dan Sarawak dalam sektor tenaga.
Dalam masa sama, Zafrul turut menempelak Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee, yang mendakwa perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia–Amerika Syarikat tidak memberi kesan besar kepada ekonomi Sabah.
“Malaysia tak pernah pun ada perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika sebelum ini. Sekarang bila produk kayu dan minyak sawit Sabah dikecualikan tarif 19 peratus, takkan itu pun tak nampak faedahnya?” katanya.
Zafrul menambah, peningkatan eksport hasil daripada perjanjian itu akan membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk Sabah dan membantu pekebun kecil di negeri tersebut.
“Cuba tanya pekebun sawit di Sabah, mereka lebih suka kena tarif 19% atau 0%?” sindir beliau lagi.






