Kes Zara: Polis Siasat Kes Pendedahan Maklumat Kanak-Kanak di Media Sosial

Kes Zara: Polis Siasat Kes Pendedahan Maklumat Kanak-Kanak di Media Sosial

0
SHARE
ACP Kasim Muda, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu sedang menyiasat kes pendedahan dan kebocoran maklumat berkaitan kanak-kanak melalui media sosial yang dilaporkan pada 19 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini, polis telah merakam percakapan pengadu dan membuat permohonan analisis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis juga sedang berusaha mendapatkan rakaman percakapan pihak pendakwa raya dan peguam yang terlibat selain mengesan suspek bagi melengkapkan siasatan.

Kasim mengingatkan bahawa sebarang pendedahan atau penyebaran maklumat berkaitan kanak-kanak melalui media sosial adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat sedemikian demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak,” tegasnya.