Tiga Lagi Perjanjian Penyelidikan Dimeterai UMS di Indonesia

Tiga Lagi Perjanjian Penyelidikan Dimeterai UMS di Indonesia

0
SHARE
Juhar
Kasim (dua dari kiri) menunjukkan dokumen yang telah dimetrai masing-masing oleh UMS dan STIKes Abdi Nusantara, disaksikan oleh Tun Juhar (tengah) - ( Sumber Foto: UMS / Istana Seri Kinabalu )

JAKARTA, INDONESIA – Tiga lagi perjanjian penyelidikan dimeterai Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha mewujudkan rangkaian kerjasama yang berimpak.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor, UMS bekolaborasi dengan tiga institusi di Indonesia dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, sains sukan serta kesihatan.

“UMS akan terus giat mewujudkan rangkaian kerjasama yang berimpak dengan institusi-institusi pengajian di Indonesia.

“Ini sebagai langkah menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah menandatangani beberapa dokumen memorandum perjanjian di antara Malaysia dan Indonesia pada Julai lepas.

“Pada 18 Ogos lalu, kita berjaya memeterai kerjasama dengan tiga institusi iaitu Universitas Negeri Jakarta, Universitas Terbuka Indonesia dan Sekolah Tinggi Ilmu Kesehatan (STIKes) Abdi Nusantara.

“Selain itu, UMS turut menjalinkan kolaborasi dalam bidang kerja sosial melalui surat niat yang telah kita tandatangani bersama Universitas Bhayangkhara Indonesia Raya,” katanya ketika dihubungi media, semalam.

Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta isteri, Toh Puan Norlidah semasa Program Lawatan Pengantarabangsaan Penyelidikan dan Akademik UMS ke Indonesia, baru-baru ini.

Lawatan pengantarabangsaan penyelidikan dan akademik UMS merupakan sebuah inisiatif institusi berkenaan di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Rosalam Sarbatly.

Tambah Kasim, tiga daripada empat kolaborasi penyelidikan terbabit diketuai Dekan Fakullti Psikologi dan Pendidikan UMS, Profesor Dr Murnizam Halik.

Manakala, satu lagi perjanjian dijalankan melalui pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Madya Dr Fatimah Ahmedy.

Turut hadir, ahli Lembaga Pengarah UMS, Rafidah Datu Derin serta Atase Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Zulfadhil Hamzah. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Juhar
Kasim (dua dari kiri) menunjukkan dokumen yang telah dimetrai masing-masing oleh UMS dan STIKes Abdi Nusantara, disaksikan oleh Tun Juhar (tengah) – ( Sumber Foto: UMS / Istana Seri Kinabalu )