BANDUNG, INDONESIA – UMS komited dalam memperkasakan keterlihatan penyelidikan di persada antarabangsa.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata pihaknya mengukuhkan rangkaian kerjasama antara universiti dengan insitusi pengajian luar negara bagi meningkatkan keterlihatan penyelidikan.
“UMS komited untuk memperkasakan pembangunan fakulti, pertukaran pelajar dan keterlihatan universiti di persada antarabangsa.
“Oleh itu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK) UMS mempergiatkan usaha untuk mencapai objektif melalui bidang sains maritim serta kolaborasi dalam penerbitan jurnal.
“Ia selaras dengan dedikasi UMS sebagai peneraju ke arah masyarakat berinovatif,” jelas beliau.
Menurut Kasim, konsep kluster penyelidikan dan inovasi merupakan sebuah inisiatif UMS di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Rosalam Sarbatly dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga akademia.
“Melalui aktiviti yang dijalankan secara berfokus dan bersifat transdisplinari, diharap dapat membantu menyelesaikan isu-isu semasa setempat serta masalah serumpun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pemeteraian dua perjanjian penyelidikan di antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI).
Perjanjian penyelidikan masing-masing dimaterai oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor dan Vice Rektor UPI, Prof Dr Bunyamin Maftuh, Vice Rector Penyelidikan, Perniagaan dan Kerjasama, Universitas Pendidikan Indonesia.
Menyaksikan pemeteraian penyelidikan berkenaan ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di sini, baru-baru ini.
Dalam majlis yang turut dihadiri isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, satu surat niat juga dimeterai di antara Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS dan Fakultas Ilmu Pendidikan UPI yang merangkumi bidang pendidikan kanak-kanak.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UMS Rafidah Datu Derin, Dekan FPP Profesor Dr Murnizam Halik dan Timbalan Pengarah (Strategik) Pusat Pengurusan Penyelidikan Profesor Madya Dr Fatimah Ahmedy. — JABATAN PENERANGAN SABAH