Anifah Aman, Noorita Sual Angkat Sumpah Sebagai Senator

Anifah Aman, Noorita Sual Angkat Sumpah Sebagai Senator

0
SHARE
Anifah
Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Rakyat hari ini ( Sumber Foto: Ihsan PCS )

KUALA LUMPUR – Dua pemimpin Sabah iaitu Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Naib Pengerusi DAP Sabah, Noorita Sual, dilantik Senator Dewan Negara berkuatkuasa hari ini sehingga 20 Mac 2026.

Upacara pagi tadi diadakan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim pagi tadi dengan perkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Anifah dalam sebuah kenyataan merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang berkhidmat untuk negara dan rakyat Malaysia dalam kapasiti baharu sebagai senator.

“Saya komited untuk menegakkan prinsip demokrasi, tadbir urus yang baik, dan kedaulatan undang-undang dan akan bekerja tanpa jemu ke arah kebaikan negara dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut berharap dapat menyumbang kepada perbincangan dan perbahasan bermakna yang akan membentuk masa depan Malaysia disamping mengukuhkan kedudukannya di persada global dengan pengalaman di portfolio beliau sebelum ini.

Dalam pada itu, Noorita, berterima kasih kepada Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Anthony Loke dan pucuk pimpinan parti serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Pakatan Harapan.

“Terima kasih menaruh kepercayaan kepada saya untuk mewakili DAP diperingkat legislatif dengan berlatarbelakangkan orang asal dan wanita serta pedalaman Sabah.

“Saya mengharapkan semua pihak berkenaan bersama-sama dengan saya untuk berusaha lebih giat lagi dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya,” katanya.

Noorita
Naib Pengerusi DAP Sabah, Noorita Sual mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Rakyat hari ini ( Sumber Foto: Ihsan DAP Sabah )

Dalam sebuah kenyataan, beliau berkata akan memfokuskan kepada isu-isu wanita seperti memperkasakan hak wanita agar berani pertahankan hak mereka selain meningkatkan peratus penglibatan wanita dan perlindungan atau kebajikan kanak-kanak dan warga emas.

“Ini adalah kerana wanita lebih rapat kepada golongan ini dan memahami keperluan mereka. Saya juga memperjuangkan hak orang asal dan penumpuan untuk membangunkan kawasan-kawasan pedalaman di Sabah demi mencapai matlamat kemakmuran saksama,” tambahnya.