
TENOM, SABAH – Seramai 22 penanam buah pomelo di Tenom terlibat dalam perjanjian jual beli “forward agreement” bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Chan Foong Hin pada Ahad menyaksikan penghantaran pomelo julung kalinya dengan menggunakan pengangkutan laut kerana sebelum ini, eksport pomelo adalah melalui pengangkutan udara.
“Pejanjian Persefahaman Jual Beli antara penanam Pomelo dan FAMA menerusi program Ladang Kontrak KPKM adalah untuk memberikan jaminan kepada petani FAMA yang memasarkan hasil mereka pada harga yang dipersetujui dan petani membekalkan buah yang dijamin berkualiti dan gred yang dikehendaki.
“Secara umumnya, pembekalan buah pomelo dari Tenom kepada FAMA Negeri Sabah telah bermula sejak tahun 2005 dengan sasaran pemasaran ke Semenanjung Malaysia.
“Menurut sumber daripada FAMA, harga belian di ladang hanya RM1.20 sekilogram dengan kuantiti belian di antara 10 hingga 15 tan metrik setahun suatu ketika dahulu.
“Pemasaran ke Semenanjung Malaysia sebagai langkah meneroka pasaran baru secara tidak langsung telah membantu petani meluaskan peluang pasaran hingga pengeksportan,” Chan berkata.
Disamping itu, menurutnya dengan bantuan promosi pemasaran dari beberapa Pusat Operasi FAMA serta rakan-rakan strategik pasaran, permintaan ke atas buah pomelo meningkat dari tahun ke tahun.
Kesan daripada peningkatan permintaan ke atas buah pomelo tenom ini khususnya dari pasaran Semenanjung Malaysia, secara tidak langsung telah meningkatkan harga belian di ladang dari RM2.30 sekilogram pada tahun 2018, RM3 pada tahun 2022 dan RM3.60 bermula Februari 2023.