KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mengekalkan pendirian untuk membantah pembinaan Patung Mazu berhampiran Masjid Daerah Kudat.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata ini kerana ia boleh mengganggu khusuknya ibadah umat Islam.
“Ketetapan yang dinyatakan kali ini adalah konsisten dengan pendirian kepimpinan USIA sebelum ini, iaitu untuk membantah sekeras-kerasnya pembinaan Patung Mazu pada tahun 2005,” beliau berkata dalam sebuah kenyataan hari ini.
Sapawi berkata demikian sebagai maklum balas terhadap usaha untuk meneruskan pembinaan patung itu.
“Bukanlah niat USIA untuk menghalang usaha kerajaan negeri untuk menarik kemasukan pelancong ke Sabah termasuk ke daerah Kudat, tetapi yang mesti diberi keutamaan adalah, sensitiviti dan kemaslahatan umat Islam itu sendiri.
“Difahamkan kerajaan negeri pada ketika isu Patung Mazu heboh dipertikaikan, telah menyediakan tapak yang sesuai untuk patung itu, tetapi tiada usaha untuk menyahut tawaran berkenaan.
“Kini, ada pihak yang cuba mengetengahkan semula pembinaan Patung Mazu dengan pelbagai alasan.
“Justeru, sekali lagi USIA menyatakan pendirian tegas untuk membantah sekeras-kerasnya pembinaan Patung Mazu di tapak asal yang dicadangkan,” katanya.