Dua Bot Bawa Lebih 7 Tan Barang Subsidi Tanpa Permit Ditahan di...

Dua Bot Bawa Lebih 7 Tan Barang Subsidi Tanpa Permit Ditahan di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan dua bot kargo tempatan yang membawa lebih 7 tan barang bersubsidi tanpa permit dalam dua operasi berasingan pada Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kejayaan tangkapan hasil risikan berterusan dan operasi penguatkuasaan diperketatkan membanteras penyeludupan barang kawalan, terutama menjelang musim perayaan.

Katanya, sebuah bot kargo tempatan ditahan di kedudukan 1.7 batu nautika selatan Batu-3, membawa pelbagai barang kawalan tanpa permit sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati, seorang juragan lelaki tempatan, 32 tahun, membawa muatan 415 pek beras, 80 karton gula pasir, 19 kotak tepung gandum dan 7 kotak minyak masak tanpa dokumen sah.

“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengejar dan menahan sebuah bot kargo pada kedudukan 1.6 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau kira-kira pukul 11.30 malam, selepas dikesan memecut laju ke arah perairan Pulau Sebatik.

“Hasil pemeriksaan mendapati juragan lelaki tempatan, 35 tahun, membawa 50 tong gas LPG berisi serta 65 pek beras anggaran 10 kilogram tanpa sebarang permit sah,” katanya.

Menurut beliau lagi, nama juragan terbabit juga dikesan tidak tersenarai dalam lesen operasi bot tersebut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Kepten Maritim Shahrizan berkata, kedua-dua bot bersama muatan seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin, mencecah hampir RM126,000.00