PRESIDEN IRAN DAN MENTERI LUAR DISAHKAN MENINGGAL DUNIA DALAM NAHAS HELIKOPTER

PRESIDEN IRAN DAN MENTERI LUAR DISAHKAN MENINGGAL DUNIA DALAM NAHAS HELIKOPTER

0
SHARE
Iran
Hasil imej dron milik kerajaan Turkiye ( Sumber Foto: AFP )

TEHRAN, IRAN – Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir Abdollahian antara yang dilaporkan agensi media tempatan sebagai meninggal dunia selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran pada Ahad.

Berdasarkan IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu manakala Reuters melaporkan seorang pegawai kerajaan Iran sebagai berkata bahawa helikopter yang hilang itu ditemui ‘terbakar sepenuhnya’.

Laporan awal daripada pasukan mencari dan menyelamat menunjukkan bahawa semua penumpang di dalam helikopter itu terkorban dalam nahas.

Persatuan Bulan Sabit Merah Iran sebelum ini mengesahkan telah tiba di tapak nahas susulan dron milik Turki mengesan satu kawasan di Wilayah Azerbaijan Timur yang mengeluarkan haba.

Seramai 73 pasukan termasuk unit anjing pengesan dikerah ke kawasan terbabit namun berdepan cuaca hujan dan kabus tebal.

Terdahulu, helikopter yang membawa Presiden dan Menteri Luar Iran itu dilaporkan terpaksa melakukan ‘pendaratan kecemasan’ di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Insiden itu berlaku di Hutan Dizmar antara bandar Varzaqan dan Jolfa di Wilayah Azerbaijan Timur ketika Raisi dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.

Penduduk tempatan dilaporkan mendengar bunyi kuat di wilayah berkenaan.

Menurut penganalisis tentera CNN, mangsa-mangsa dipercayai menaiki helikopter Bell 212 yang mula beroperasi pada akhir 1960-an.

Katanya, kesukaran mendapatkan alat ganti boleh menjadi faktor dalam kemalangan itu.

Helikopter itu pertama kali dihasilkan di Amerika Syarikat dan kemudian di Kanada.