PAPAR: Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Honda City dan Proton Satria di Kampung Purak, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.41 malam.
“Terdapat dua orang mangsa terlibat dalam kemalangan ini.
“Seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an dalam kenderaan Honda City dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian belakang dan dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Manakala mangsa lelaki, 20-an dari kenderaan Proton Satria mengalami cedera ringan dan keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Pemeriksaan dijalankan di sekitar kawasan lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain wujud sebelum menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 11.13 malam.






