NGO Digesa Tingkatkan Program Berasaskan Bukti Demi Kesejahteraan Masyarakat

NGO Digesa Tingkatkan Program Berasaskan Bukti Demi Kesejahteraan Masyarakat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menggesa NGO dan badan kebajikan sukarela memperbaharui pendekatan serta beralih kepada program berasaskan bukti bagi memastikan kelestarian kewangan dan impak sosial lebih tinggi.

Seruan itu disampaikan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong, ketika berucap pada Forum Jaringan Perkhidmatan Sosial 2025 anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) bersama Unit Penyelidikan C4D UMS-UNICEF, di Hilton Kota Kinabalu.

Chong berkata cabaran utama organisasi kebajikan kini berkisar pada kelestarian kewangan, pengurusan operasi dan keupayaan menarik dana akibat isu kepercayaan serta ketelusan.

Beliau menekankan kepentingan program berasaskan bukti untuk memastikan pelaksanaan efektif dan meyakinkan penyumbang.

Antara saranan yang dikemukakan ialah kerjasama strategik antara NGO, mengurangkan persaingan dalaman dan memperkukuh penglibatan sukarelawan muda melalui program mentor.

Beliau turut menggariskan tiga isu yang memerlukan fokus bersama iaitu penuaan sihat, keibubapaan positif dan perlindungan kanak-kanak, serta pemerkasaan OKU.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Sabah, Jais Asri, pula menggesa peserta memperkukuh usaha kolaborasi terutama dalam koordinasi sukarelawan dan pembangunan program komuniti.

Seramai 120 peserta menghadiri forum berkenaan termasuk MPMS Executive Secretary Joeanne Lee, Ketua Unit Penyelidikan C4D UMS-UNICEF Dr. Latif Lai dan UNICEF Programme Specialist Sabah Dr. Elaine Kong.