Kiulu Berpotensi Jadi Destinasi Pelancongan Mesra Kesihatan

Kiulu Berpotensi Jadi Destinasi Pelancongan Mesra Kesihatan

0
SHARE
Joniston
Joniston meneliti maklumat mengenai demensia dan alzheimer sambil mendengar penerangan daripada Pengasas Persatuan Sokongan Penyakit Alzheimer Sabah, Datuk Zahra Ismail ( Sumber Foto: Ihsan STB )

KIULU, SABAH – Kiulu boleh menjadi destinasi pelancongan mesra kesihatan dengan memanfaatkan keindahan alam semula jadinya dan sokongan daripada komuniti setempat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau menggambarkan Kiulu sebagai destinasi “tourism with a heart” di mana pelancongan bukan sahaja mempromosikan keindahan semula jadi tetapi juga memberikan manfaat kesihatan kepada pelawat dan penduduk tempatan.

“Kiulu memiliki nilai kekitaan dan semangat komuniti yang kuat. Kita boleh mempromosikan pelancongan yang membawa manfaat holistik kepada semua pihak,” kata Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Ceramah Kesedaran Demensia dan Alzheimer sempena Bulan Kebajikan di Dewan Masyarakat Kiulu, pada Khamis.

Dalam menekankan pentingnya kesedaran tentang penyakit ini, Joniston menegaskan peranan komuniti kecil seperti Kiulu dalam memberikan sokongan kepada individu yang mengalami penyakit seperti dimensia.

“Dengan struktur sosialnya yang erat, Kiulu boleh menjadi contoh bagaimana komuniti kecil boleh memainkan peranan besar dalam memberikan sokongan kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Selain itu, penggunaan terapi alam semula jadi, seperti suasana damai dan keindahan lanskap Kiulu, serta aktiviti tradisional seperti pertanian dan pembuatan kraftangan boleh menjadi elemen sokongan kepada pesakit,” tambahnya.

Program kesedaran yang dianjurkan oleh Persatuan Sokongan Penyakit Alzheimer Sabah, dengan kerjasama komuniti setempat, turut melibatkan ceramah dan sesi perkongsian maklumat tentang gejala, pencegahan, dan sokongan bagi pesakit demensia dan Alzheimer.

Joniston berkata program ini dapat melengkapkan penduduk Kiulu dengan maklumat penting, membolehkan mereka mengenal pasti tanda-tanda awal Demensia dan Alzheimer serta menyediakan sokongan moral, fizikal, dan sosial sejajar dengan nilai komuniti Kiulu yang penuh kesatuan.

Program ini turut dihadiri Pengasas Persatuan Sokongan Penyakit Alzheimer Sabah, Datuk Zahra Ismail; Timbalan Presiden Persatuan Sokongan Penyakit Alzheimer Venitia Lojuti dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.15 Kiulu, Golubi Guntarek.