Keputusan Pemakaian Tudung Bagi Jururawat Di Singapura Bakal Diketahui Ogos Ini

Keputusan Pemakaian Tudung Bagi Jururawat Di Singapura Bakal Diketahui Ogos Ini

0
SHARE

SINGAPURA – Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berharap keputusan pemakaian tudung dalam kalangan jururawat Islam yang mahu memakainya dalam pakaian seragam dapat diumumkan pada Perhimpunan Hari Kebangsaan akhir Ogos ini.

Memetik laporan BH Online, Hsien Loong berkata kerajaan perlu diberi masa untuk bersedia melaksanakan langkah itu kerana ia membabitkan isu sensitiviti dalam kepelbagaian kaum dan masyarakat berbilang agama.

“Kita mahu melakukannya tetapi memerlukan sedikit masa. Saya sudah membincangkan perkara ini dengan pemimpin masyarakat dan meminta mereka membantu dalam proses ini dalam beberapa bulan akan datang.

“Saya berharap menjelang Perhimpunan Hari Kebangsaan pada akhir Ogos, kita harus bersedia membuat keputusan, dan saya akan mempunyai sesuatu untuk diumumkan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan dialog tertutup bersama kira-kira 70 pemimpin masyarakat Melayu/Islam dan pemimpin agama mengenai isu berkenaan di Kelab Perkhidmatan Awam, semalam.

Hsien Loong berkata, kerajaan menyedari sikap masyarakat sudah berubah dan pemakaian tudung dalam kalangan pekerja wanita beragama Islam menjadi kebiasaan dalam suasana sosial dan kerja.

“Dengan sendirinya, kita dapat melihat kebaikan membenarkan jururawat Islam memakai tudung dengan pakaian seragam mereka jika itu yang mereka mahu…

“Akan tetapi sebelum kita membuat perubahan, kita harus bersiap sedia. Kita harus memastikan semua orang memahami ini adalah penyesuaian teliti dan bukan perubahan besar-besaran.

“Kita ingin orang ramai menyedari apa hadnya, ketika kita membuat perubahan dan kita harus memastikan rakyat Singapura, baik Islam dan bukan Islam, bersedia menerima langkah ini,” katanya.

Hsien Loong berkata, Singapura sebagai negara berbilang kaum dan agama komited memelihara keharmonian ingin mengelakkan timbul kesan tidak diingini ketika melaksanakan langkah niat baik itu.