KUALA LUMPUR – Bantuan oleh pihak Kerajaan sangat diperlukan secepat mungkin ekoran daripada lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diumumkan baru-baru ini.
Penganalisis berpendapat, segala pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) serta Belanjawan 2021 harus disegerakan kerana lanjutan tempoh PKP 2.0 sudah pasti memberi kesan ke atas momentum pertumbuhan ekonomi terutama pada suku pertama 2021, namun ia masih tidak seteruk impak PKP tahun lalu kerana aktiviti ekonomi penting dan utama dibenarkan beroperasi.
Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim, berkata pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi PERMAI sedikit sebanyak akan memberikan sokongan kepada industri dan individu yang terkesan akibat PKP 2.0.
Memetik laporan BH Online, beliau bagaimanapun berkata jika pelaksanaan PKP 2.0 dilanjutkan melangkaui 18 Februari 2021, kerajaan perlu bersedia untuk menyediakan rangsangan ekonomi tambahan bersasar bagi memastikan sokongan diberikan kepada mereka yang benar-benar terkesan akibat PKP 2.0.
Beliau berkata, bantuan terbabit seterusnya akan mengurangkan kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, walaupun ekonomi negara dikekang oleh PKP 2.0 pada awal tahun ini, pertumbuhan ekonomi 2021 dijangka disokong oleh peningkatan permintaan luar negara dan program vaksin COVID-19.
“Aktiviti perdagangan antarabangsa akan terus meningkat bersandarkan jangkaan pemulihan ekonomi global akan dapat memberi sokongan kepada pertumbuhan ekonomi negara tahun ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata beliau menjangkakan momentum pemulihan ekonomi terkesan akibat pelaksanaan PKP 2.0, namun tidak seteruk yang dialami pada suku kedua tahun lalu memandangkan banyak sektor utama dibenarkan beroperasi.
Justeru, sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tidak dicapai sememangnya boleh berlaku terutama jika langkah PKP 2.0 dilanjutkan lagi daripada tempoh yang ditetapkan.
“Sekiranya kegiatan ekonomi masih berhadapan dengan kekangan, maka bantuan kewangan perlu terus disalurkan bagi mengurangkan kesan ekonomi kepada rakyat terutama golongan rentan dan perniagaan kecil…
“Justeru, tidak timbul isu cukup atau tidak kerana kerajaan dilihat proaktif dalam merangka bantuan kepada rakyat. Apa yang penting adalah memastikan setiap bantuan yang diberi sampai kepada golongan sasar dengan segera segera,” jelasnya.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpandangan bahawa adalah penting bagi kerajaan melaksanakan inisiatif di bawah Belanjawan 2021 dan PERMAI terlebih dulu sebelum pakej rangsangan baharu dilaksanakan.
Beliau berkata, kerajaan boleh melaksanakan peruntukan yang sudah diluluskan dalam Belanjawan 2021 seperti Penjana Kerjaya dan MySTEP serta Program Subsidi Upah (PSU).
“Fokus utama kali ini ialah memastikan lebih ramai yang mendapat pekerjaan melalui Penjana Kerjaya dan MySTEP dan juga sektor ekonomi yang terpaksa ditutup dibantu dari segi dana untuk menampung kos operasi sepanjang ia ditutup,” katanya.
Mengenai impak lanjutan tempoh PKP 2.0 terhadap momentum pertumbuhan, Ahmed Razman berkata, dengan anggaran kerugian RM700 juta sehari di bawah PKP 2.0, ia bermakna lanjutan tempoh PKP 2.0 selama 14 hari lagi akan menyebabkan negara kerugian RM9.8 bilion.
Justeru, beliau berkata, sudah pasti ia boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi terutama pada suku pertama 2021.
“Oleh itu kerajaan harus sentiasa memantau suasana ekonomi semasa dan jika ada keperluan untuk menambahkan peruntukan dalam pakej rangsangan PERMAI dan Belanjawan 2021, maka inilah yang harus dilakukan,” katanya.