KOTA KINABALU, SABAH – Sabah merekodkan penurunan angka kes baharu positif COVID-19 kelmarin (Rabu) dengan catatan 474 KES.
Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata penurunan itu banyak dipengaruhi oleh ketiadaan kes positif baharu dari kluster penjara kecuali lapan (8) kes dari Penjara Tawau.
Zon Hijau terakhir Sabah, daerah Tambunan, kini telah beralih ke Zon Kuning dengan pengesanan satu (1) kes positif. Ini menunjukkan tiada lagi Zon Hijau di negeri Sabah.
“90.5 peratus daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 iaitu 184 kes, di mana golongan pesakit tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2, 245 kes, di mana pesakit sekadar mengalami simptom ringan,” jelasnya.
Dalam pada itu satu (1) kematian dilaporkan di daerah Beaufort dan dua kluster baharu turut dikesan.
“Kluster Sawit Lung di Beluran melibatkan jangkitan dalam ladang yang disyaki berpunca daripada pematuhan SOP yang lemah…
“Kes indeks adalah lelaki, bukan warganegara, 35, bergejala sejak 12 Julai sebelum disahkan positif dalam saringan masuk ke ladang pada dua hari selepas itu.
“Jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 15 kes termasuk rakan sekerja dan ahli keluarga,” kata Masidi.
Kluster KKIP Selatan di Kota Kinabalu dan Tuaran pula berlaku di sebuah kilang plastik di kawasan perindustrian Kota Kinabalu.
“Kes indeks adalah operator kilang, lelaki, 20, disahkan positif pada 12 Julai selepas bergejala pada 9 Julai…
“Daripada 45 sampel dalam kalangan kontak rapat yang diambil di daerah Kota Kinabalu, lapan (8) kes telah dikesan positif.
“Selain itu, empat (4) lagi kes dengan kaitan epidemiologi juga telah didaftarkan di daerah Tuaran, menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 12 kes,” Masidi berkata.