Dibelasah Suami Setiap Kali Dapat ‘Like’ Di Facebook

Dibelasah Suami Setiap Kali Dapat ‘Like’ Di Facebook

0
SHARE
Sumber Foto; Daily Mail

PARAGUAY – Setiap kali gambarnya di Facebook mendapat ‘Like’, Adolfina Camelli Ortigoza, 21, akan dibelasah suaminya yang cemburu menyebabkan wanita itu cedera parah hingga terpaksa menjalani pembedahan pembentukan semula wajahnya.

Ketika polis Paraguay dimaklumkan mengenai kejadian itu, wanita berkenaan yang tinggal di Asuncion, sudah cedera teruk dengan muka bengkak hingga sukar dikenali menyebabkan perlu menjalani pembedahan hidung dan bibir.

Menurut peguam wanita itu, suaminya, Pedro Heriberto Galeano, 32, bertindak ganas apabila ada sesiapa menekan ‘Like’ pada gambar isterinya di Facebook.

Menurut Daily Mail, Galeano yang mengawal akaun Facebook isterinya, memuat naik gambar wanita itu dan selepas itu membelasahnya, termasuk menendang dan menumbuk isterinya setiap kali gambar berkenaan mendapat ‘Like’.

Rakan-rakan Facebook Adolfina tidak tahu reaksi mereka di akaun laman sosialnya mengundang padah kepada wanita itu.

Menurut peguamnya, Arnaldo Martinez, wanita berkenaan sentiasa hidup dalam ketakutan apabila setiap kali rakan membuat komen pada status dan gambarnya di Facebook.

“Dia teruk dicederakan dengan muka bengkak akibat ditumbuk, bibir pecah. Suaminya menuduh dia mendapat ‘Like’ itu kerana menjalin hubungan dengan rakan-rakannya di Facebook.

“Adolfina masih mempunyai gigi kerana suaminya menyumbat kain ke dalam mulut sebelum ditumbuk bertubi-tubi setiap hari,” katanya.

Difahamkan, bapa mentua Adolfina melaporkan kejadian itu kepada polis kerana bimbang menantunya mati.

Pedro yang ditahan, didakwa cuba membunuh, menghalang kebebasan dan melakukan paksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun.